Walaupun berhasrat dengan diri sendiri untuk menulis sekerap mungkin untuk setiap aktiviti baru yang dilalui, namun disebabkan kekangan untuk menulis memandangkan kelas sudah bermula membuatkan laman ini terbengkalai seperti juga laman milik saya yang satu lagi.
Oh! Ramadhan kareem untuk semua :) bulan keberkatan yang penuh nikmat sehingga ke jiwa bagi yang menikmatinya..
Saat saya menulis ini sudah masuk 14 Ramadhan~..
*******
Rumah yang saya duduki bangunan asasnya berlantai papan dan tidak dilengkapi hamparan permaidani secara menyeluruh, malah bilik saya yang merupakan sebuah "sunroom/hallway" yang diubah menjadi bilik tidur dan menelaah juga hampir 80 % bahan nya adalah papan. Maka, sangat sejuk jika dibandingkan dengan rumah lain yang bahan binaannya batu. Tidak boleh saya lupakan usai solat subuh berjemaah bersama rakan serumah beberapa hari lalu yang seterusnya diisi dengan bertadarus, dalam bersila untuk mengaji saya menggigil kerana tidak mampu menahan kesejukan lantai tersebut walaupun telah dihampar permaidani.
Kendatipun, musim sejuk pada ketika ini kata orang sudah tidak sesejuk minggu-minggu yang lalu - saya juga mengakuinya. Sungguhpun kadangkala diselang-selikan dengan hujan berlarutan bersama angin kencang pada sesetengah hari dan suhu akan turun mendadak, masih dapat dirasai ketibaan musim bunga semakin hampir.
********
Alhamdulillah dalam tempoh berada di Perth ini, tidak lekang peluang mengikuti program pengisian rohani. Yang satu pada awal ketibaan, saya berpeluang mengikuti program usrah akhwat dan ikhwan warga perth yang kebanyakannya sedang dalam program doktor falsafah. Riuh juga dengan anak masing-masing yang semuanya memiliki karakter tersendiri - bijak-bijak seperti ibu ayah mereka.
Antara yang lain, saya sempat melibatkan diri untuk program anjuran persatuan pelajar dengan kolaborasi Harun Yahya International di Curtin University untuk beberapa siri ceramah yang kesemuanya berkisarkan kajian dan hasil karya Harun Yahya. Satu yang menarik perhatian saya ialah cara pihak penganjur mempromosi program tersebut yang mana setiap Muslim digalakkan membawa seorang bukan Muslim dan penyertaan golongan bukan Muslim adalah percuma. Dihujung setiap siri ceramah, hangat dengan soalan-soalan yang ada masanya berlarutan sehingga menyebabkan peserta meninggalkan majlis kerana bosan dengan "argument" yang berpanjangan.
Pada sisi satu lagi, sebagai seorang "anak dara bujang" di perantauan, ada masa tidak rajin untuk memasak untuk berbuka puasa. Jalan paling mudah, berbuka di musolla universiti :) dan di sini juga saya berkenalan dengan ramai lagi Muslim diperantauan termasuk yang datang dari Malaysia yang seterusnya menjadi keluarga kecil untuk saya.

Hidangan berbuka pada salah satu hari di musolla UWA
Alhamdulillah, Jumaat yang lalu kami rakan-rakan muslimah seMalaysia; campuran pelajar ijazah sarjana muda dan sarjana yang kebanyakkannya masih tidak berkeluarga berkumpul berbuka, solat dan sesi tazkirah bersama disebuah rumah antara kami di Fairway. Aktiviti yang sama akan diteruskan di rumah yang lain pada Jumaat akan datang dan kali ini di kediaman saya di Leura :). (*Sebelum saya mengenali mereka, kumpulan ini telah lama menjalankan pengisian usrah sekali setiap dua minggu dalam kumpulan kecil masing-masing)
*******
Tidak mampu saya menolak, kadangkala rindu dengan kg. halaman, keluarga dan sahabat handai di Malaysia - lebih-lebih lagi apabila tekanan belajar sudah dirasai. Namun, saya tahu saya kena be brave. May Allah give me the strength to be brave.
Hari ini ada open day di UWA dan pada waktu petang majlis usrah dan iftar di Bentley. Harapnya sempat dengan masa yang ada untuk membuat pembacaan sedikit sebelum kelas esok. Till next post ;)